Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata, perkahwinan kanak-kanak bawah umur memberi kesan tidak adil kepada kanak-kanak perempuan yang miskin.

"Suhakam bimbang sekiranya amalan ini diteruskan (perkahwinan kanak-kanak), ibu bapa boleh menjual anak-anak secara sah di sisi undang-undang yang disamarkan dalam bentuk perkahwinan, sebagai jalan penyelesaian kemiskinan dengan menjadikan anak-anak sebagai komoditi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi mengelakkan kes tersebut berulang, Razali berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menjadikan program perlindungan sosial kanak-kanak miskin sebagai keutamaan.

"Kementerian perlu mengambil langkah bagi menghalang perkahwinan kanak-kanak dalam apa jua keadaan dan kementerian bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi," katanya.

Baru-baru ini media melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun bernikah dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun di Tumpat, Kelantan pada Julai lepas.

Menurut laporan tersebut, perkahwinan itu mendapat restu  ibu bapa remaja tersebut yang tidak mahu anaknya hidup susah.

Kes tersebut merupakan kes kedua melibatkan perkahwinan bawah umur di Kelantan yang dilaporkan tahun ini.

Jun lalu, negara digemparkan dengan perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun di Gua Musang dengan seorang peraih getah berusia 41 tahun. - Bernama