Keputusan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin membenarkan ‘sampah dunia’ diimport semula amat mendukacitakan.

Lebih mencetuskan persoalan apabila kerajaan hanya menetapkan bayaran levi RM15 bagi setiap tan sisa plastik yang mahu dibawa masuk ke Malaysia.

Impak lebih besar daripada keputusan kerajaan tersebut bermakna nasib penduduk Kuala Langat tidak mendapat perhatian kerajaan.

Kerajaan langsung tidak peduli aduan dan rayuan penduduk yang mahu kilang-kilang memproses sisa plastik diharamkan di daerah itu ditutup.

Gesaan tersebut dibuat ekoran aktiviti kilang mempro­ses sisa plastik telah mengancam kesihatan penduduk termasuk mereka berisiko menghidap penyakit kanser.

Antara lokasi rancak dengan aktiviti memproses sisa plastik di Kuala Langat ialah di Jenjarom dan Telok Panglima Garang.

Mengikut rekod pihak berkuasa, Kuala Langat mempunyai 54 buah kilang memproses sisa plastik. Daripada jumlah tersebut 41 buah kilang beroperasi secara haram dan baki 13 buah sahaja yang beroperasi secara sah.

Sangat ajaib apabila pihak berkuasa yang mempunyai rekod mengenai kilang haram tersebut tetapi serbuan ke atas premis-premis itu cuma dilakukan ketika isu ‘sampah dunia’ mula kecoh di dada-dada akhbar.

Kuala Langat dikhabarkan mula ditutupi asap daripada kilang-kilang memproses sisa plastik sejak dua tahun lalu. Kebanyakan kilang-kilang haram tersebut berskala besar dan bagi menutup aktiviti haramnya, kilang-kilang tersebut dibina di dalam ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, kesan aktiviti memproses sisa plastik walaupun banyak beroperasi pada waktu malam tidak dapat disembunyikan dengan kepulan asap yang dilepaskan.

Kemuncak masalah asap hitam dilepaskan itu menyebabkan ramai penduduk Kuala Langat terpaksa memakai topeng muka bagi mengelak menyedut udara tercemar.

Malah dalam tempoh dua tahun lalu juga klinik-klinik di daerah itu dikatakan menerima ramai pesakit yang berdepan dengan masalah pernafasan, asma dan batuk.

Kini dengan keputusan kerajaan yang diumumkan pada Rabu lalu, sudah tentu syarikat-syarikat atau kilang-kilang memproses sisa plastik tersebut sedang ‘bergembira’.

Gembira kerana aktiviti mereka walaupun kebanyakan tidak berlesen disokong kerajaan. Menjelang tarikh 24 Oktober ini, kilang-kilang memproses sisa plastik boleh menyambung semula aktiviti mengimport ‘sampah dunia’ seperti yang dihajati.

Secara dasarnya pengumuman Zuraida mengenai keputusan meneruskan import sisa plastik dengan levi RM15 bagi setiap tan amat tidak munasabah.

Turut tidak masuk akal apabila Zuraida langsung tidak memberi apa-apa jaminan dengan masalah penduduk yang kini bangkit mengadu nasib mereka yang terpaksa menghidu udara tercemar.

Bukan setakat itu, kesan daripada aktiviti kilang memproses sisa plastik itu turut menutup periuk nasi pengusaha ikan dan udang di Kuala Langat kerana punca air sungai dicemari.

Justeru misi penduduk Kuala Langat untuk memperjuangkan, hak bagi hidup sihat bukan sahaja belum ber­akhir tetapi dilihat bertambah getir. Getir kerana mereka terpaksa berlawan dengan kerajaan yang sepatutnya menyelesaikan masalah mereka tetapi sebaliknya se­olah-olah menyokong kumpulan yang membawa masalah.