Seramai 178 atlet terdiri daripada 102 lelaki dan 76 wanita serta 95 pegawai bakal menggalas cabaran negara pada temasya kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik.

Pada edisi ke-21 itu, kontinjen Malaysia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat sebaliknya memasang impian untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik.

Pada temasya di Glasgow, Scotland empat tahun lalu Malaysia berada di kedudukan ke-12 setelah merangkul enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Justeru tugas mencabar menanti para atlet negara khususnya yang berada di bawah Program Podium untuk merealisasikan impian besar tersebut.

Bagi penulis tiada alasan buat para atlet Program Podium kerana mereka mendapat layanan istimewa daripada Institut Sukan Negara (ISN) menerusi penyediaan teknologi dan sains sukan bertaraf dunia.

Sasaran itu ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu para atlet Program Podium meraih pingat.

“Saya harap persiapan semua atlet berjalan lancar dan semoga anda mampu tampilkan aksi terbaik. Jika anda berikan yang terbaik, kejayaan pasti akan tiba.

“Kepada mereka yang berada dalam Program Podium, anda semua perlu tamatkan saingan di sana de­ngan kedudukan podium dan saya tidak harapkan kurang daripada itu,” katanya ketika berucap pada majlis penye­rahan Jalur Gemilang Sukan Komanwel di Putrajaya minggu lalu.

Kata Khairy, atlet-atlet Program Podium tiada alasan untuk tidak menyumbang pi­ngat memandangkan mereka sudah dibekalkan pelbagai program latihan serta me­nerima banyak bantuan dari segi persiapan dan sokongan.

“Kita sudah beri segala-galanya dari segi persiapan dan sokongan serta aturkan program-program untuk anda, jadi itulah (pingat) yang perlu dicapai di sana nanti,” katanya.

Pada edisi ke-20 lalu, skuad badminton menjadi penyum­bang terbesar pingat emas menerusi acara beregu lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.

Turut menyumbang emas buat negara ialah Datuk Nicol David (skuasy), Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) dan Ooi Tze Liang (terjun).

Kontinjen negara sekali lagi pada edisi kali ini menaruh harapan tinggi kepada skuad badminton yang diketuai Datuk Lee Chong Wei untuk menyumbang pingat emas terbanyak.

Skuad terjun turut menjadi sandaran negara untuk membutirkan pingat emas menerusi gandingan Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong yang merangkul perak dalam acara 10 meter platform berirama wanita pada Siri Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2018 di Beijing, China bulan lalu.

Ratu skuasy negara, Nicol juga berpeluang mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu.

Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang turut menjadi harapan Malaysia untuk menyumbang pingat biarpun pelumba yang berasal dari Terengganu itu belum 100 peratus pulih daripada jangkitan virus yang dialami ketika menyertai Kejohanan Trek Dunia di Belanda awal bulan lalu.

Atlet lain dari sukan menembak, boling padang dan olahraga juga mempunyai peluang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Selamat maju jaya buat para atlet negara yang di­pimpin ketua kontinjen Huang Ying How yang akan menggalas cabaran Malaysia di bumi kanggaru selama 12 hari bermula esok hingga 15 April ini.