Menurut beliau, pihak yang sengaja menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik tidak mencintai negara dan gagal menjiwai semangat kemerdekaan.

Katanya, meskipun perbuatan itu disifatkan sebagai 'nakal', Jalur Gemilang adalah lambang besar bagi sesebuah negara dan tidak patut diperlakukan begitu.

"Rakyat telah dididik sejak kecil menghormati Jalur Gemilang. Tidak sepatutnya sebagai anak jati negara ini memasang bendera secara terbalik walaupun mereka mungkin marah.

"Itu tandanya mereka kurang cintakan negara. Tidak menghormati keharmonian dan keamanan yang selama ini kita jaga untuk memastikan negara maju dan aman.

"Segelintir kecil ini saya harap mereka sedar Jalur Gemilang bukan perkara yang boleh dibuat main-main atau untuk timbulkan kemarahan orang lain," katanya pada sidang media selepas melawat Rumah Pangsa Tun Dr. Ismail, Lobak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial. - K! ONLINE