Pengarah Perhilitan Negeri, Rahmah Ilias berkata, gajah jantan berusia 10 tahun tersebut berjaya ditangkap di Hutan Simpan Bukit Kesing dekat Pelong pada Khamis lalu.

"Operasi menangkap gajah liar berkenaan yang disertai 20 anggota dari Perhilitan Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh sejak 1 Ogos lalu.

"Gajah jantan seberat lebih satu tan tersebut berjaya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu berhampiran Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan bantuan dua gajah denak, Rambai dan Abot," katanya kepada pemberita di Kampung Pelong dekat sini hari ini.

Rahmah berkata, Rambai dan Abot yang merupakan gajah betina mengambil masa hampir sejam untuk memujuk gajah jantan terbabit keluar dari hutan.

Beliau berkata, gajah jantan itu dibawa keluar dari hutan sejauh kira-kira 600 meter dengan diiringi dua gajah denak tersebut sebelum memasuki sebuah lori trak.

"Lori trak itu kemudiannya membawa gajah jantan tersebut tersebut ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebelum menaiki tongkang menuju ke habitat asal di  Taman Negara. - K! ONLINE