Operasi pemindahan gajah berumur antara 15 hingga 18 tahun dan seberat dua tan metrik itu dilakukan hari ini menggunakan dua gajah denak iaitu "abot" dan "rambai" dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Timbalan Pengarah Perhilitan Kelantan, Adnan Ismail berkata, gajah liar berkenaan dipercayai sudah beberapa minggu berkeliaran di kampung itu menyebabkan pihaknya bertindak segera selepas menerima aduan daripada penduduk. 

Di dalam satu sidang media di lokasi operasi di sini hari ini, beliau berkata operasi mengesan gajah itu bermula Rabu lepas sebelum mereka menemui haiwan itu di kawasan hutan berhampiran sebelum berjaya ditangkap kira-kira pukul 10 pagi, Jumaat lepas. 

Katanya, operasi memindah gajah liar itu mengambil masa empat jam bermula sejak 10 pagi membabitkan  27 anggota jabatan itu dan anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

"Penangkapan gajah liar itu adalah yang pertama tahun baharu ini dan sepanjang tahun lalu kita sudah berjaya menangkap enam ekor gajah liar di Gua Musang dan Jeli," katanya.

Seorang penduduk, Abu Hanifah Abdul Ghani, 58, berkata, gajah liar itu dipercayai berpecah daripada kumpulannya sejak sebulan lalu dan kerap memasuki kawasan kediaman penduduk dan merosakkan tanaman. - Bernama