Pengarahnya Mohd Hasdi Husin berkata, operasi mengesan renjer berkenaan, Tarmizi Ahmad Japli, 30, akan dipergiatkan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk anggota Perhilitan Kelantan yang dihantar ke sana.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini membabitkan pegawai dan anggota bomba, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota Perhilitan dari negeri ini dan Pahang.

"Sehingga semalam, walaupun pasukan SAR masih gagal mengesan Tarmizi di semua lorong, sungai, atas dan bawah pohon, juga dalam gua tempat beliau dikhuatiri hilang namun kami yakin beliau masih hidup," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tarmizi dilaporkan masuk ke hutan Taman Negara pada 9 Jun lepas bersama-sama enam lagi renjer melalui Felda Kechau 11 Kuala Lipis, dilaporkan hilang semasa melalui jalan sungai untuk memasang kamera. 

Rakan mangsa menyedari kehilangannya selepas tidak melihat mangsa yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak berada di belakangnya semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kem. - Bernama