Pengarah Perhilitan Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, proses pemindahan gajah jantan itu dibantu dua ekor gajah denak bernama 'Abot' dan 'Rambai' yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan 'memujuk'.

"Gajah seberat dua tan dan berusia kira-kira 15 tahun ini ditangkap pada malam Khamis lalu di kawasan Kampung Memali selepas kita menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai gangguannya.

"Gajah ini tinggal di kawasan hutan simpanan kekal berdekatan kawasan ini dan keluar dari hutan itu pada waktu malam dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan menyebabkan penduduk berasa bimbang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, gajah tersebut dibawa ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, Perak menggunakan lori dan akan dilepaskan di habitat baharunya itu yang lebih selamat.

Jamalun Nasir berkata, penduduk telah membuat aduan mengenai gangguan gajah itu sejak tiga bulan lepas dan pihak Perhilitan melakukan pemantauan dan mencari kaedah sesuai untuk menangkapnya.

"Bentuk muka bumi kawasan ini yang berbukit menyukarkan kita untuk menangkapnya dan kita perlu membuat persediaan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada anggota kita dan gajah itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, selain daripada gajah yang telah ditangkap itu, terdapat gangguan daripada gajah lain di situ memandangkan kampung tersebut mempunyai banyak sumber makanan termasuk kelapa sawit, kebun pisang dan buah-buahan.

"Buat masa ini, kita rasa aduan mengenai gangguan gajah ini akan berkurangan selepas kita tangkap gajah ini, tapi selepas ini kita yakin akan ada lagi gangguan dan kita akan terus memantau dari masa ke semasa," katanya. - Bernama