Hiasan seperti bunga-bungaan, tanglung, rumah cina, tulisan kaligrafi dan hiasan menggunakan angpau menjadi kemestian untuk menyemarakkan lagi sambutan itu.

Golongan wanita paling sibuk membuat persiapan untuk menghias rumah dan juga tokong.

Bagi Cheong Wan Choo, 50, yang tinggal di Kampung Baru di sini dia sekeluarga sudah tidak sabar untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

Katanya, setiap hari sejak sebulan lalu, dia bersama beberapa orang rakan wanita akan ke Tokong Kuan Tai Meow untuk membantu menghias tokong yang terletak di Kampung Baru.

"Kita buat kerja ini secara sukarela bagi membangkitkan suasana perayaan setiap tahun.

"Sejak sebulan lalu, kita sudah mula mencuci tanglung dan menggantungnya bagi memberi keceriaan dan menaikkan semangat tahun khinzir yang merupakan tahun terakhir dalam kalendar Cina ini,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi rakannya, Chong Won Mei, 46, berkata, mereka telah membeli kelengkapan dan hiasan itu menggunakan duit sumbangan orang ramai.

Katanya, setiap malam selepas habis bekerja mereka akan ke tokong itu untuk melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan dan menghias kawasan itu.

“Selain golongan wanita, pelajar sekolah juga turut membantu menggantung tanglung itu.

“Selain itu, menariknya tahun ini apabila terdapat sebuah lukisan bunga-bungaan yang dilukis oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 2 yang turut digantung di tokong ini,” katanya. - K! ONLINE