Namun, apabila kita dipilih untuk mengetuai sesuatu jabatan atau organisasi, kita seharusnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan beberapa pertimbangan yang adil. Sebagai bos yang baik, kita perlu membuat kerja rumah untuk mengenali hati budi atau latar belakang staf-staf bawahan kita.

Ini penting kerana staf-staf inilah yang akan menjatuhkan atau menaikkan kita sebagai ketua mahupun pemimpin pada masa hadapan. Buang jauh-jauh sifat pilih kasih atau mengutamakan kroni. Semua staf perlu diberi layanan yang sama selagi mereka tidak melakukan kesalahan. Jika ada peluang untuk perkembangan karier, pilihlah staf-staf yang berkelayakan. Pilihan yang dibuat perlu tepat dan bukannya sekadar tangkap muat. Ikutilah aturan dan peraturan yang betul. Jangan ada sikap pilih bulu.

Jangan terlepas pandang atau buat-buat tidak nampak semata-mata mahu memastikan orang pilihan kita memegang jawatan itu meskipun status mereka boleh dipersoalkan. Seseorang ketua atau bos itu bebas untuk membuat keputusan selagi ia tidak dilihat berat sebelah dan mengikuti prosedur yang digariskan. Jangan sekat rezeki orang. Jika kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah pasti mempermudahkan urusan kita.

Terdapat banyak perkara yang membezakan antara ketua dengan pemimpin. Seorang pemimpin itu layak menjadi pemberi inspirasi kepada orang bawahan. Bijak mengawal emosi dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan kepercayaan staf terhadap dirinya. Yakinlah bahawa kasih sayang dapat menyelesaikan banyak masalah kerana staf akan mendengar kata atau nasihat bos yang disayangi sahaja.

Pemimpin ialah orang yang berhak ‘mendapat penghormatan’. Dia akan berusaha melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada staf dengan ikhlas dan menerima hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya. Dia tidak mengharapkan penghormatan tetapi apa yang diharapkan ialah reda Allah. Sekiranya dia berjaya ‘mendapat penghormatan’ itu, ia adalah satu respons positif yang diperoleh hasil daripada tindakan positif mereka.

Seorang pemimpin itu lebih suka mengambil konsep kebersamaan. Kejayaan sesuatu usaha itu adalah kerana adanya sikap bantu-membantu dan kerjasama antara dirinya dengan staf. Seorang pemimpin itu menjadikan inspirasi. Dia memudahkan, membahagiakan dan membangkitkan semangat staf. Seorang pemimpin itu memberi peluang kepada orang bawahan untuk membina kepakaran dan menambah kemahiran. Dia bersifat pemurah untuk memberikan sesuatu kepada staf yang bekerja keras sebagai tanda terima kasih.

Seorang pemimpin itu lebih suka menggunakan kata-kata yang membawa makna mengajak melakukan bersama. Dia akan bertanya kepada staf dulu, adakah staf itu bersedia, berupaya dan tiada beban untuk melakukannya. Apabila berhadapan dengan masalah, dia cepat mencari jalan penyelesaian. Setiap masalah dianggap sebagai ujian daripada Allah untuk mencipta lebih ba­nyak peluang dan kejayaan. Masalah dipandang­nya sebagai ‘batu loncatan’ bukan ‘batu halangan’ untuk dia memacu kejayaan yang lebih baik.

Jadilah seorang pemimpin bukan seorang ketua. Tidak kiralah apa pun posisi kita sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu jabatan, organisasi atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling. Amalkan sikap mempermudahkan urusan bukan menyusahkan urusan orang lain.