Menurut ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, pihaknya kini dalam usaha untuk melibatkan agensi dan jabatan kerajaan bagi membantu pihak berkaitan memperkenalkan seni silat kepada generasi muda di peringkat sekolah.

"Melalui keterlibatan agensi-agensi kerajaan khususnya dari Kementerian Belia dan Sukan termasuk Majlis Sukan Negara, ia diharap dapat melahirkan kesedaran bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah masyarakat dunia.

"Agar (mereka) mengetahui silat ini merupakan khazanah Malaysia dan juga mempunyai ciri-ciri istimewa yang tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Demonstrasi Seni Silat di Sekolah Kebangsaan Penanti, di sini hari ini.

Turut hadir ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Dr. Norlela Ariffin.

Tambah Nurul Izzah, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan sijil-sijil akreditasi untuk mengiktiraf seni silat itu sekaligus membolehkan mereka meneruskan aktiviti tanpa berlaku sebarang masalah.

"Jika diizinkan dalam ruang lingkup yang kita ada, kita akan bantu kerana kita mahu lahirkan satu gerakan di mana kita menghargai khazanah dan menjadikan proses pembelajaran seni silat itu mudah.

"Saya fikir di samping mahukan pembangunan dan pendidikan secara akademik, ia juga harus lahir secara holistik dan kita nak pastikan ia bukanlah opsyen yang berat kerana kita nak seni ini terus berkembang dan terpelihara," katanya. - Bernama