Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, proses mewartakan tanah untuk masyarakat Orang Asli tersebut tidak akan berhenti di situ sahaja malah kerajaan negeri akan terus melaksanakan program tersebut dari masa ke masa.

“Kerajaan negeri sememangnya mengambil berat dengan kebajikan dan keperluan lebih 60,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri Perak terutamanya melibatkan pewartaan tanah bagi kediaman mereka.

“Buktinya kita merupakan negeri pertama di dalam negara yang mewartakan tanah untuk mereka dan setakat ini sebanyak 13,652 hektar sejak tiga tahun lalu telah diwartakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Orang Asli bersama Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM500 seorang kepada 175 Tok-Tok Batin masyarakat Orang Asli seluruh negeri Perak melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM88,000. - K! ONLINE