Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, cadangan pembinaan itu dibuat susulan permintaan daripada konglomerat luar negara antaranya dari China dan Timur Tengah supaya kemudahan tersebut diwujudkan di Perak.

"Kami sedang berbincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung serta agensi kerajaan seperti InvestPerak dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) sama ada boleh jadikan Manjung kawasan pusat pemprosesan minyak dan gas yang diimport dari negara Timur Tengah.

"Pusat pemprosesan minyak itu nanti akan menghasilkan diesel atau petrol dan kita akan jual ke luar negara seperti China dan Vietnam," katanya dalam sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata pihaknya turut mengambil kira kawasan persekitaran dengan mengelakkan pembinaan di kawasan pelancongan dan santuari tuntung serta penyu.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab lisan persidangan DUN, Mohamad Nizar berkata, pembangunan projek paip gas asli sepanjang 140 kilometer dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta telah 70 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Katanya apabila siap kelak, projek itu akan memberi peluang penggunaan gas asli kepada 44 buah syarikat sedia ada di sepanjang jajaran terlibat selain membawa manfaat kepada pengusaha industri baharu dan bakal pelabur.

"Ini seterusnya membuka lebih banyak peluang kewujudan industri yang menggunakan gas sebagai bahan utama operasi seperti syarikat pengeluar sarung tangan, pembuatan kaca, kimia, besi keluli, tekstil dan seramik," katanya semasa menjawab soalan  Teoh Yee Chern (DAP-Astaka) yang ingin tahu mengenai perkembangan pembangunan projek paip gas asli di Perak.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan bersama Unit Perancang Ekonomi), Gas Malaysia Bhd. serta agensi-agensi berkaitan untuk memanjangkan jajaran paip gas asli ke daerah lain termasuk Muallim, Teluk Intan (Hilir Perak), Tapah dan Bidor (Batang Padang).

"Jika jajaran baharu ini dilaksanakan, ia akan merancakkan lagi pembangunan dan pembuatan di sekitar kawasan tersebut," katanya. - Bernama