Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, dua produk tersebut merupakan antara makanan yang mendapat sambutan hangat pada Malaysia Fest tahun lalu.

"Pada penyertaan kali ketiga Perak di Malaysia Fest kali ini kita mengetengahkan dua produk baharu yang mendapat sambutan hebat daripada rakyat Singapura iaitu petai dan ikan pekasam.

"Selain dua makanan tersebut, kita turut membawa 14 lagi produk yang dihasilkan oleh lapan usahawan Perak termasuk biskut mentega, hasil laut sotong dan sambal kacang ketupat," katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Ekspo, Changi di sini.

Tambah Abdul Yunus, kira-kira 10,000 papan petai dan 1,204 kotak ikan pekasam dibawa masuk ke festival berkenaan untuk dipasarkan sepanjang empat hari yang akan berakhir hari ini.

"Pada masa hadapan, kerajaan Perak akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan mempertimbangkan lagi produk-produk baharu yang boleh dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Kita juga akan melibatkan beberapa portfolio lain seperti pelancongan dan usahawan supaya Perak dapat buka lebih banyak gerai pada festival seperti ini," katanya.

Katanya, Perak menyasarkan jualan sebanyak RM50,000 untuk 15 produk keluaran negeri itu sepanjang empat hari festival berlangsung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Amirul Halal Convenience Store, Nur Isratul Hidayah Abd. Rahman berkata, 15 produk yang dipasarkan Pavillion Perak mendapat sambutan baik daripada rakyat Singapura.

"Produk seperti ikan pekasam dan biskut mentega ini mendapat sambutan yang sangat hebat memandangkan ia merupakan makanan yang sukar dijumpai di mana-mana," katanya. - K! ONLINE