Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam sewaktu mangsa, seorang wanita berusia 21 tahun sedang berada di dalam keretanya. 

"Kereta mangsa kemudiannya dihampiri oleh dua lelaki bermotosikal yang bertindak membuka pintu kereta berkenaan dan meragut beg tangan serta telefon bimbit milik wanita tersebut. 

"Salah seorang suspek turut bertindak menumbuk pipi mangsa sebelum wanita berkenaan melawan dan menendang pintu kereta mengakibatkan salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohamed Mokhsein, sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut terlihat insiden pergelutan itu dan terus memberikan bantuan.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua suspek cuba untuk melarikan diri namun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan. 

"Seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas merempuh MPV polis," jelas beliau. 

Tambah beliau, suspek yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 34 tahun dan didapati mempunyai satu rekod lampau selain positif dadah jenis amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan. 

"Pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan nombor pendaftaran palsu, sebilah parang dan gergaji besi termasuk sebuah telefon bimbit, seutas beg tangan wanita dan wang tunai bernilai RM670 dipercayai hasil kegiatan samun.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek turut menemukan satu paket plastik berisi 1.5 gram dadah jenis methamphetamine dan sebiji pil dipercayai Erimin 5 yang dibungkus dalam kertas aluminium," katanya. 

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE