Maklumat yang tular di media sosial semalam turut mendakwa seramai 16 warga emas telah meninggal dunia di pusat jagaan tersebut sejak tahun 2017.

Penghuni pusat jagaan warga emas itu antara lain didakwa dipukul, dikurung dan diikat pada kerusi oleh penyelia wanita berusia lingkungan 20-an berkenaan.

Warga emas yang mendiami pusat jagaan itu juga didakwa dipaksa minum air kencing, makan cili dan diberi ubat tidur secara berlebihan.

Satu rakaman video penyelia pusat jagaan warga emas itu dipercayai sedang mempermainkan penghuninya turut tersebar di media sosial sejak petang semalam.

Kosmo! Online difahamkan pusat jagaan itu mula beroperasi sejak tahun 2016 dan menawarkan perkhidmatan penjagaan harian serta terapi untuk warga emas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon ketika dihubungi memaklumkan beliau telah ke pusat jagaan warga emas itu malam tadi.

Menurutnya, pemilik premis itu mendakwa telah membuat laporan polis terhadap seorang kakitangan pusat jagaan warga emas tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

“Kami akan keluarkan satu kenyataan dalam masa yang terdekat selepas penyiasatan selesai,” katanya. - K! ONLINE