Menteri Air, Tanah dan Smber Asli, Xavier Jayakumar berkata bagi jangka pendek, KATS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memantau dan mengenal pasti kawasan berisiko serta menyalurkan peruntukan khas sekiranya perlu bagi kerja-kerja membaik pulih struktur ban pantai yang rosak akibat banjir.

Menurutnya, untuk jangka panjang pula, kerajaan telah meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk menangani masalah fenomena air pasang besar di beberapa lokasi kritikal di Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.

"Kawasan pesisir pantai khasnya Pantai Barat Semenanjung Malaysia adalah rendah dan landai dan kebanyakannya dilindungi oleh ban-ban pantai. Namun begitu, terdapat lokasi ban pantai ini yang terdedah kepada ombak ketika air pasang dan terhakis teruk akibat tiada perlindungan semula jadi hutan bakau.

"Akibatnya, kawasan ini amat berisiko dilanda banjir pantai khususnya ketika air pasang besar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Bernama