Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun kerajaan negeri telah merangka beberapa tindakan hasil perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan namun ia tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

"Kalau boleh kerajaan negeri nak menyelesaikan masalah ini secepat mungkin tapi oleh kerana ada isu politik dan faktor keselamatan kita perlu tangguh (buat sementara waktu).

"Kita sekarang menunggu maklum balas daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan kementerian berkaitan agar tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri selepas ini adalah selari dengan Kerajaan Persekutuan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mohd. Amar menjawab soalan dikemukakan Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan negeri dalam menangani masalah sekatan pembalakan oleh Kumpulan Jaringan Masyarakat Orang Asli. - Bernama