Sepanjang tempoh tujuh dekad itu, berpuluh-berpuluh ribu, malah ada yang menyatakan ratusan ribu warga Palestin hilang nyawa di tangan Rejim Zionis dan hampir satu juta terpaksa menjadi pelarian.

Pada tahun 1974, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi mengiktiraf kewujudan negara Palestin dan Israel secara sebelah-menyebelah dalam apa yang dina­makan ‘penyelesaian dua negara’. Ia dianggap mekanisme yang adil bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel dan mengembalikan keamanan di Asia Barat.

Di bawah resolusi itu, sempadan negara Palestin adalah berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, konsep yang ditentang oleh Israel.

Konsep yang diutarakan oleh PBB itu, walaupun dilihat adil oleh masyarakat antarabangsa, gagal mengembalikan keamanan di Asia Barat ekoran kedegilan Israel yang disokong sekutunya, Amerika Syarikat.

Pada hemat penulis, sekiranya Israel dan Washington jujur mahu melihat keamanan kembali di Asia Barat, krisis tersebut boleh diselesaikan menerusi pelan yang diketengahkan oleh PBB berkonsepkan situasi menang-menang.

Dan jika konsep tersebut dihormati, mungkin pada abad ke-21 wujud dua negara baharu iaitu Israel yang diiktiraf PBB dan Palestin.

Namun, perkara itu tidak berlaku. Pada hemat penulis, Israel tidak menghormati konsep penyelesaian dua negara bukanlah kerana isu politik atau persempadanan semata-mata.

Pada hemat penulis, Israel menganggap negara Palestin itu sendiri tidak wujud. Ini kerana mengikut kepercayaan agama Yahudi, tanah Palestin itu adalah Tanah Israel seperti dijanjikan tuhan dalam kitab mereka, begitu juga kota Baitulmuqaddis.

Justeru, orang Yahudi yang sebenarnya diusir dari tanah milik mereka selama 2,000 tahun sehingga terpaksa hidup melata di serata benua dalam terma yang dikenali sebagai diaspora.

Sebelum Israel wujud, terdapat beberapa pilihan untuk beberapa tempat dijadikan sebagai tanah atau negara Israel, namun tidak mendapat sambutan bangsa Yahudi.

Antaranya termasuk memberikan kawasan di Afrika Timur, timur jauh dan pulau tetapi semuanya tidak mendapat sambutan memberangsangkan.

Tindakan Israel di samping retorik pemimpinnya membuktikan bahawa ia tidak berminat dengan solusi dua negara se­perti yang disarankan oleh PBB dan disokong oleh beberapa Pre­siden AS sebelum ini termasuk Bill Clinton serta Barack Obama.

Buktinya, Israel masih meneruskan pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah-tanah milik Palestin di wilayah Tebing Barat yang ditawan mereka.

Walaupun bertentangan de­ngan undang-undang Israel te­rutamanya di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berterusan membina beribu-ribu kediaman haram Yahudi dan mengusir penduduk Palestin dari tanah milik mereka.

Tindakan ini jelas bertenta­ngan dengan konsep penyelesaian dua negara, malah Presiden Donald Trump umpama me­nyiram minyak ke dalam api apabila mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS ke sana.

Langkah tersebut dilaksanakan di sebalik Washington me­ngetahui bahawa rakyat Palestin mendambakan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin merdeka, jika negara itu wujud pada masa hadapan.

Bertambah ironinya, Trump terus mendabik dada bahawa beliau akan membentangkan pelan damai Asia Barat yang baharu sedikit masa lagi yang disifatkan beliau sebagai perjanjian abad ini.

Ia pada hemat penulis sebagai helah untuk mengetepikan penyelesaian dua negara dan perjanjian yang tidak memberikan apa-apa pilihan kepada rakyat Palestin.

Pelan penyelesaian dua negara sebenarnya sudah berkubur apabila Trump mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Pada pandangan penulis, rea­litinya Israel dan AS hanya membeli masa de­ngan pelbagai cadangan pelan damai dan Israel­ juga tidak akan me­nyerahkan kembali wilayah Tebing Barat kepada Palestin.

Mungkinkah wilayah Palestin yang akan tinggal pada masa hadapan adalah Gaza? Jawapannya tidak mustahil ia berlaku.