Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, dasar pelaksanaan mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lepas.

Bagaimanapun katanya, penyedut minuman plastik hanya akan diberikan atas permintaan pelanggan untuk setiap minuman yang dipesan.

Beliau berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan memasukkan larangan tersebut dalam Syarat-syarat Permohonan Lesen Perniagaan semasa pengusaha makanan, minuman dan restoran mengemukakan permohonan baharu atau memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

“Objektif utama pelaksanaan dasar ini adalah untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk di Selangor tentang kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna khususnya penyedut minuman plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan dapat membantu kerajaan mengawal masalah pencemaran alam sekitar yang semakin ketara dan menggalakkan usaha mengitar atau mengguna semula serta menjaga kebersihan alam sekitar di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau, pelaksanaan dasar tersebut selaras dengan kempen bebas plastik yang sedang dijalankan di Selangor malah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) seperti beg plastik, polisterina, penutup atau pelapis makanan plastik, bahan-bahan plastik pakai-buang dan sebagainya. - Bernama