Bayangkan budak sekolah di hujung desa pun tahu siapa Donald Trump, Presiden Amerika yang mulut celupar itu.

Masyarakat hari ini sudah cerdik serta sarat de­ngan aneka ilmu di dada. Soal sama ada mereka faham apa yang dibaca atau ditonton dalam media sosial, itu perkara kedua. Pokoknya mereka sepantas kilat tahu apa yang terjadi di ‘hujung dunia.’

Bayangkan kalau perkembangan negara di hulu bumi pun mereka tahu, apa tah lagi di halaman sen­diri. Sudah pasti mereka cukup arif dan cukup tahu.

Itu sebab kadang-kadang pelajar sekolah, budak universiti tiba-tiba rasa mereka lebih cerdik dari­pada cikgu atau pensyarah yang mengajar.

Mengusutkan lagi keadaan, dalam zaman ‘semua orang boleh terbang’ itu, peluang untuk melawat ke negara orang lain cukup mudah.

Biasa berlaku, yang mengajar mengenai negara orang sendiri tidak pernah ke negara itu sedangkan yang diajarnya sudah kerap ke situ.

Betullah kata orang, zaman pensyarah tahu semua, begitu juga pemerintah, sudah lama berlalu. Sekarang adalah era, semua orang serba tahu.

Bagaimanapun yang bahayanya, kebanyakan orang mempunyai pengetahuan yang cetek dan cukup dang­kal dalam sesuatu perkara. Mereka hanya tahu luaran sahaja.

Malangnya, spesies jenis ini menganggap diri sudah cukup tahu, sudah maha pintar berbanding pihak-pihak lain.

Apa yang peliknya kelompok ini menganggap me­reka lebih tahu luar dan dalam daripada tuan tubuh sendiri.­

Inilah dunia yang kita berdepan sekarang. Manusia jenis ini pula sukar dengar nasihat dan menerima buah fikiran orang serta pantang ditegur.

Lalu timbullah insan yang hanya pandai bercakap sehingga berjaya memikat dan mengagumkan ba­nyak orang.

Gaya pertuturannya saja membuatkan ramai yang ‘cair’ dan pendengar merasakan dialah insan yang paling sempurna di planet ini.

Sedihnya apabila manusia ini diangkat menjadi pemimpin ternyata mereka ini spesies yang hanya petah bercakap, bila bab kerja, amat mengecewakan.

Tentulah lebih cantik lagi kalau mempunyai insan yang sudahlah bijak berkata-kata, mahir dan kreatif pula buat kerja selain tinggi budi bahasa dan kuat agamanya.

Bagaimanapun pakej komprehensif itu sukar ditemui sebab manusia tidak sempurna, ada cacat cela­nya serta baik dan buruknya.

Kata bijak pandai, banyak mendengar meredakan kemelut dan berkomunikasi menyelesaikan sebahagian besar masalah.

Sedihnya, kita mendengar masalah orang sambil membaca WhatsApp, itu yang memburukkan lagi keadaan, Jelas di mata orang, yang mendengar itu tidak serius dan lebih mementingkan diri sendiri berbanding orang lain.

Semakin menghampiri ‘ibu dan bapak segala pilihan raya’, macam-macam gelagat dan ‘drama’ pendek serta bersiri ditemui.

Ada yang menginsafkan, banyak yang membi­ngungkan. Semua orang hendak tunjuk hebat dan bijaksana.

Semua orang hendak tunjuk pandai.

Kalau sudah begitu, kembalilah kepada nasihat orang yang dulu ‘makan garam’. Pesan orang tua-tua, kalau kurang arif sesuatu bab, bertanyalah pada orang yang pakar dalam bidang itu. Tapi awas, bala bila bertanya pada orang yang salah, alamat semakin bertambah liku dan sesatlah perjalanannya.