Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang terkini, setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 menderita pelbagai isu kesihatan mental.

Cuma yang malangnya, masih ramai tidak faham mengenai penyakit ini terutamanya dari segi istilah 'kecelaruan mental lazim', punca serta akibat yang mungkin berlaku di samping mengenal pasti gejala awal penyakit mental yang utama.

Dalam masa yang sama masih wujud stigma yang menebal berkait dengan penyakit mental dari sudut budaya yang dibentuk oleh kepercayaan karut serta tanggapan salah.

Tanggapan yang negatif ini sering kali membuatkan pesakit yang menghidapi penyakit mental, menderita dalam senyap.

Mereka juga sering dipulau masyarakat dan harapan untuk diterima kembali sebagai anggota masyarakat adalah tipis, justeru menyukarkan lagi pemulihan mereka.

Sementara ada yang menyamakan penyakit mental dengan "gila", terdapat juga pihak yang tidak dapat mengenal pasti gejala penyakit itu.
Sebenarnya, penyakit mental adalah penyakit perubatan.

Ia melibatkan bukan sahaja gangguan pada fungsi otak tetapi juga boleh menjejaskan pemikiran seseorang, emosi serta tingkah laku di samping berdepan dengan kehilangan keupayaan.

Dr Michael Ang Jin Kiat, pakar sakit jiwa dan pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia berkata penyakit itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan yang biasa terjadi termasuk skizofrenia, kecelaruan kemurungan yang keterlaluan dan kecelaruan bipolar.

"Skizofrenia adalah penyakit mental yang mencetuskan halusinasi dan delusi. Halusinasi merujuk kepada pengamatan deria tanpa rangsangan sementara delusi pula adalah kepercayaan palsu yang tidak dikongsi seseorang daripada latar belakang sosio-budaya yang sama.

"Jenis halusinasi yang biasa ialah halusinasi bunyi yang dikenali sebagai 'paracusia', persepsi bunyi tanpa rangsangan luar yang boleh dikenal pasti, " kata beliau pada bengkel "First Aid for Mental Health Emergencies" yang diusahakan oleh Pfizer Malaysia di sini baru-baru ini.

Ketika menyampaikan kertas kerjanya bertajuk "Understanding Mental Illness" Dr Ang turut menyatakan di peringkat global, sekitar 40 peratus pesakit yang menderita skizofrenia cuba membunuh diri sementara 10 peratus lagi mati akibat bunuh diri.

Menjelaskan mengenai kecelaruan kemurungan yang keterlaluan, beliau berkata penyakit itu berkait rapat dengan perasaan sedih, rasa tidak berguna atau bersalah yang boleh membuatkan seseorang hilang minat untuk melakukan kegiatan yang biasa dilakukannya.

"Kemurungan boleh membuatkan seseorang itu menukar corak pemakanan serta tabiat tidur, berasa letih, lembap dalam berfikir dan bergerak juga tidak boleh fokus.

"Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa dan ia bukan tanda kelemahan. Bagaimanapun kegagalan untuk merawat penyakit ini mungkin boleh menjurus kepada perasaan untuk mati dan cuba membunuh diri, " jelasnya.

Beliau yang juga menyentuh mengenai kecelaruan bipolar yang turut dikenali sebagai "penyakit kemurungan manik" berkata penyakit itu mungkin mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan emosi yang melampau, dan menyebabkan perubahan luar biasa mood, tenaga, tahap kegiatan serta kemampuan untuk melakukan tugas harian.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, Perunding Pakar Sakit Jiwa Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM), berkata penyakit mental semakin ketara di negara ini dan perlu diberi perhatian serius.

Usaha untuk menangani isu ini juga berdepan dengan cabaran yang besar memandangkan bilangan pakar sakit jiwa yang tidak mencukupi.

Sehingga Mac 2017, terdapat hanya 381 pakar sakit jiwa di negara ini, iaitu Kementerian Kesihatan (207), Universiti Awam (84), Universiti Swasta (22), Pasukan Tentera (5) dan Sektor Swasta (63).

Menurut beliau, lazimnya nisbah untuk pakar sakit jiwa ialah seorang bagi setiap 10,000 orang penduduk tetapi di Malaysia, nisbah ini ialah 1 dalam 100,000 orang penduduk.

Apa yang lebih membimbangkan ialah semakin ramai anak muda yang menghidap penyakit ini.

"Masalahnya sekarang lebih rumit kerana ia mungkin berkait dengan dadah, kes buli dan isu lain (melibatkan anak muda) berbanding sebelum ini yang hanya berkisar kepada kerisauan dan tekanan, " katanya.

Beliau menambah secara amnya, kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia menderita keadaan kesihatan mental yang tertentu.

Meskipun ia boleh dirawat untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dengan menjalani rawatan yang tertentu, ia juga boleh menjadi buruk apabila sampai kepada peringkat serius dan tidak dirawat dengan sewajarnya, jelas Dr Ng.

Oleh yang demikian, beliau berpandangan perlu ada usaha untuk mendidik masyarakat agar dapat mengesan penyakit mental di peringkat awal di samping menjaga kesihatan mental mereka. 

"Orang ramai mempunyai peranan untuk mencegah penyakit ini.  Kita boleh mengesan mereka di sekeliling kita yang mungkin berperangai lain daripada biasa dan cuba membantu serta menyokong mereka mendapatkan rawatan.

"Kebanyakan orang yang mempunyai kecelaruan mental sedar ada sesuatu yang tidak normal dalam diri mereka tetapi jarang sekali mereka mengaitkannya dengan sakit mental.

"Untuk menyedapkan hati mereka akan ambil ubat penghilang kesakitan daripada mendapatkan penilaian kesihatan yang betul dan mendapatkan rawatan daripada pakar sakit jiwa, " jelasnya.

Menurut Dr Ng, antara hospital yang mempunyai khidmat rawatan psikiatrik di Malaysia termasuk Hospital Bahagia, Hospital Permai, Hospital Mesra dan Hospital Sentosa.

Unit psikiatrik juga terdapat di hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).
 
Sementara itu, MMHA berkongsi mengenai "bantuan kecemasan pertama" untuk kesihatan mental yang merujuk kepada orang yang akan menjadi yang pertama untuk bertindak.

Setiausaha Agung MMHA, Dr Ang Kim Teng menjelaskan "bantuan kecemasan pertama" itu akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanda perubahan atau krisis dalam tingkah laku dan menyediakan bantuan untuk masalah kesihatan mental.

Bantuan berkenaan akan menyediakan panduan untuk membantu orang yang menghidap masalah kesihatan mental atau krisis kesihatan mental sehingga bantuan profesional diterima atau krisis diselesaikan.

Inisiatif ini adalah program yang dipaten di bawah MHFA Australia, dan kemudiannya dieksport di bawah pelesenan ke 20 buah negara di seluruh dunia.

"Mereka mesti mampu mengendalikan cubaan untuk mencederakan diri sendiri atau cuba membunuh diri di samping dapat membezakan antara kecemasan perubatan dan gangguan psikologi, " katanya.

Dr Ang turut menambah seseorang itu boleh menjadi "bantuan kecemasan pertama" untuk anggota keluarga mereka, kawan, rakan sekerja atau pelajar selagi mereka mempunyai pertalian rapat.

"Bantuan kecemasan pertama sudah mempunyai serba sedikit pengetahuan tentang orang itu seperti tingkah laku biasa serta perkembangan terkini atau tekanan yang dihadapinya.

"Oleh yang demikian jarang sekali orang asing menjadi bantuan kecemasan pertama," katanya sambil menambah salah satu kemahiran yang diperlukan ialah kebolehan mendengar dengan rasa empati.

Antara khidmat yang disediakan MMHA ialah program pemulihan psikososial, khidmat kaunseling, khidmat psikoterapi, perundingan psikiatrik, sokongan rakan sebaya dan sokongan penjaga. - Bernama