Kadangkala, ia begitu menyeksakan apabila cuba mengingat sesuatu yang pernah kita ingat atau lalui, namun minda kita tidak mampu mengembalikan ingatan itu sehingga mudah terlupa dan lama-kelamaan menjadi pelupa.

Penyakit lupa ini sangat berbahaya kepada diri sendiri dan juga orang lain kerana ia berisiko tinggi mengakibatkan kematian.

Misalnya dalam kejadian terbaharu melibatkan seorang budak perempuan berusia dua tahun yang ditemui mati dalam keadaan terbaring di belakang kereta selepas dipercayai tertinggal dalam kenderaan di Taman Aman, Lahad Datu, Sabah pada Rabu lalu.

Mangsa yang dijumpai dengan kesan melecur dan mulut berbuih itu dipercayai tertinggal dalam kereta ibunya yang berusia 31 tahun selama kira-kira tiga jam.

Penyakit lupa dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi apabila ada kes yang melibatkan ibu beranak enam tertinggal seorang anak daranya di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh menghala ke arah Pantai Timur.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang, sehari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Nasib baik ada seorang pekerja stesen minyak tersebut yang membantu menghantar semula kanak-kanak berusia 12 tahun itu kepada ibunya.

Bukan sahaja tertinggal anak, terdapat juga kes anak lelaki dan isterinya tertinggal ibu mereka yang berusia 73 tahun di Hentian R&R Bukit Besi, Du­ngun pada 4 Jun lalu selepas mangsa masuk ke tandas tanpa disedari anaknya yang tertidur.

Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan yang menemui mangsa telah menghantarnya ke Balai Polis Bukit Besi sebelum diserahkan kepada seorang cucu mangsa yang dihubungi polis.

Kadangkala tidak terjangkau di fikiran ini bagaimana seseorang ibu atau anak boleh meninggalkan insan yang mereka sayang di satu lokasi tanpa disedari.

Terdapat juga kes seorang kanak-kanak perem­puan cedera ditikam seorang lelaki dipercayai mabuk yang memasuki rumah keluarganya di Bandar Sungai Long, Kajang pada pukul 5 pagi.

Hasil siasatan awal mendapati suspek memecah masuk kediaman itu selepas pintu rumah mangsa tidak berkunci dipercayai pemiliknya terlupa berbuat demikian.

Berdasarkan portal MyHealth, penyakit lupa atau masalah ingatan merupakan proses penuaan biasa apabila seseorang menjadi tua kerana kemerosotan fungsi berlaku pada semua bahagian badan terma­suklah otak.

Masalah ini juga ada kaitan dengan penyakit degeneratif antaranya seperti penyakit alzheimer, angin ahmar dan penyakit parkinson.

Selain itu, beberapa pakar kesihatan mendedahkan, rehat yang kurang cukup juga antara penyebab kita mudah lupa. Otak memerlukan rehat secukupnya untuk merakam dan menyimpan semula memori baharu.

Individu yang menderita penyakit tekanan pe­rasaan yang kronik turut berpotensi mengalami gangguan pada sel-sel otak kerana ketika tekanan menyerang, ia mampu membunuh sel-sel otak sehingga daya ingatan semakin merosot.

Mereka yang mudah terlupa atau menjadi pelupa perlu segera berjumpa doktor untuk membuat penilaian lanjut mengenai masalah yang dihadapi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Bagi mereka yang bukannya seorang pelupa tetapi selalu buat-buat lupa pula terutama untuk menunaikan janji, jangan terus amalkannya kerana ia dikhuatiri akan memakan diri sendiri.