Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan golongan masyarakat berpendapatan rendah (B40) dan kerana itu K1M di projek perumahan rakyat (PPR) tidak ditutup meskipun purata kehadiran pesakit kurang daripada 40 pesakit sehari.

Beliau berkata, purata kehadiran pesakit itu merupakan antara kriteria pemilihan bagi penutupan sesebuah K1M selain terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak lima kilometer dari K1M dan dipersetujui Jabatan Kesihatan di negeri yang berkenaan. 

Menjelas lanjut, katanya walaupun kementerian menetapkan kriteria-kriteria berkenaan, setiap K1M yang dipilih untuk ditutup akan turut dinilai secara eksklusif bagi memastikan keputusan bagi penutupannya adalah benar-benar wajar.

"Setelah melalui proses penilaian yang komprehensif, sebanyak 34 buah K1M yang akan ditutup kerana memenuhi kriteria-kriteria ini. Keputusan ini diambil kira bagi memastikan impak penutupan yang minimum terhadap masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama