Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan penutup hidung dan mulut itu adalah paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu dengan menapis udara yang disedut oleh manusia.

Jelasnya, penutup hidung dan mulut itu kedap berbanding penutup hidung dan mulut tiga lapis yang bertujuan menghalang kuman merebak melalui pernafasan.

“Bagaimanapun, penutup hidung dan mulut N95 juga mempunyai beberapa kelemahan, misalnya ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan sempurna.

“Penutup hidung dan mulut itu juga tidak direka bagi kanak-kanak, dan pemakaian sempurna adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang selain ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, bagaimanapun, penutup hidung dan mulut tiga lapis boleh dipakai sekiranya respirator N95 tidak dapat diperolehi atas pelbagai sebab.

Jelasnya, lebih baik memakai penutup hidung dan mulut tiga lapis daripada tidak memakai pelindung pernafasan langsung terutamanya ketika menjalankan aktiviti di luar.

“Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

“Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan kepada aktiviti yang penting sahaja dan pendekkan tempoh berada di luar bangunan. Elakkan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan semasa berada di luar,” katanya.

Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman web Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183. - K! ONLINE