Mayat Muhammad Harith Ishak, 23, yang merupakan penuntut tahun dua UiTM di Segamat, Johor itu dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 24 jam sebelum ditemui oleh pemilik kebun getah berkenaan pada pukul 7.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha FZ150 dipercayai dalam perjalanan dari UiTM ke rumahnya di Felda Tun Ghafar Air Kangkong di sini.

Katanya, setiba di lokasi, motosikal ditunggangi mangsa bagaimanapun telah hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok getah.

"Siasatan mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh berhampiran kebun getah itu menyebabkan dia terbabas dan melanggar pokok.

"Kemalangan dipercayai berlaku antara pukul 11.30 malam Isnin hingga pukul 7.15 pagi semalam kerana mangsa dikatakan sempat menghubungi bapanya kira-kira pukul 11 malam sebelum kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia melebihi 24 jam akibat kecederaan parah di pelbagai anggota badan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE