Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.15 petang itu, penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhamad Husni Muhamad Anuar, 19, dan rakannya yang membonceng, Nur Aina Zafirah Abdul Malek, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Cameron Highlands.

“Tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di laluan bertentangan sedang memotong sebuah treler di hadapannya sebelum merempuh motosikal yang ditunggang kedua-dua mangsa.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak di kiri jalan manakala motosikal dan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohamad Nordin, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun pula tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

“Kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta Proton Saga yang cedera turut dirawat di hospital sama manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE