Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.20 petang sewaktu sebuah trak pikap jenis Ford Ranger sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Selangor dari arah Rawang.

"Setibanya di lokasi kejadian, trak pikap berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 32 tahun telah mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong kecemasan.

"Sewaktu lelaki berkenaan ingin keluar daripada kenderaan dipandunya, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM Ebonus telah merempuh bahagian belakang kanan trak pikap berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Arsad, akibat rempuhan tersebut, mangsa yang berusia 29 tahun itu telah tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada kepala.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tiada sebarang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) diperolehi di tempat kejadian namun siasatan lanjut masih dijalankan. Kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE