Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa, Ramli Akop, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan apabila tiba di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Saga," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Haslah berkata, akibat perlanggaran tersebut, lelaki itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE