Mangsa, Syafiq Aiman Mohd. Noor, 18, yang beralamat di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru B, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan itu berlaku pukul 8 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, ketika sampai di lokasi, sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki datang dari arah bertentangan tiba-tiba membelok memasuki simpang kanan.

“Mangsa yang gagal menekan brek motosikalnya kerana terlalu hampir dengan kenderaan berkenaan lalu merempuhnya.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda Shukri Deraman, 59, berasal dari Kampung Pauh, Pasir Mas, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan akan dituntut keluarga untuk dikebumikan pagi ini.

“Hasil siasatan dijalankan mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - K! ONLINE