Dalam kejadian kira-kira pukul 5.13 petang itu, mangsa yang berusia sekitar 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dairpada orang awam kira-kira pada pukul 5 petang.

“Seramai lapan pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang telah ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Sebaik jentera pertama tiba, mangsa didapati telah tersepit di bawah lori berkenaan bersama motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas kira-kira 15 minit kemudian.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Identiti mangsa tidak dapat dipastikan kerana tiada kad pengenalan diri ditemui pada tubuhnya ketika pemeriksaan namun mangsa dipercayai merupakan warga tempatan,” jelasnya. - K! ONLINE