Mereka perlu bersaing de­ngan kenderaan empat roda yang kian meningkat bila­ngannya selain berdepan ke­gilaan pemandu kereta yang gemar memecut melebihi had laju ditetapkan. Kenderaan berat seperti treler dan bas ekspres juga bagaikan berlumba-lumba untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar, motosikal adalah kenderaan paling sesuai digunakan. Ramai individu yang mempunyai kereta sekali pun ada kala terpaksa akur dengan cabaran semasa dan memilih motosikal untuk keluar bekerja. 

Selain tidak perlu membayar tol, mereka juga boleh menggunakan wang hasil penjimatan tersebut untuk membayar ansuran bulanan motosikal berkelas 150cc ke bawah. Kos penyelenggaraan juga begitu minimum.

Mereka juga mampu membuat penjimatan dari segi penggunaan petrol yang kini harganya tidak menentu, ­minggu ini turun, minggu depan naik dan naik lagi.

Bermotosikal juga membebaskan individu daripada ke­sesakan trafik yang sudah menjadi lumrah bagi warga kota. Cuma bezanya kalau hujan, penunggang motosikal terpaksa berbasah kuyup.

Ternyata motosikal menjadi kenderaan ideal bagi masyarakat bawahan untuk meneruskan kelangsu­ngan hidup. Meskipun berisiko, perkara tersebut terpaksa juga dilalui. 

Namun, dalam banyak perkara, kemudahan untuk penunggang motosikal diabaikan. Masyarakat lebih memberikan persepsi negatif kepada ‘Ahmad Motor’ dan juga ‘Aminah Motor’ disebabkan kegiatan aktiviti merempit yang dilakukan segelintir anak muda. 

Bagi individu yang pernah merasai pengalaman bermotosikal sebelum mendapat rezeki beralih kepada mobil besar, sudah pasti mereka ada sedikit perasaan terhadap rakan-rakan yang bermotosikal. 

Mereka masih mempu­nyai rasa hormat dan timbang rasa. Sekurang-kurangnya jika ada air bertakung ketika hujan, mereka tidak meredah laju kerana fikirkan penunggang motosikal di sisinya. 

Namun, ada pemandu yang kurang prihatin dan tidak memikirkan nasib orang lain apabila beralih lorong, memotong atau membelok tanpa mempedulikan penunggang motosikal yang berada di belakang mereka. 

Selain sikap, kemudahan untuk penunggang motosikal juga sering diabaikan pihak berkuasa. Di sepanjang lebuh raya boleh dibilang dengan jari, tempat berteduh ketika hujan disediakan untuk penunggang motosikal. 

Keadaan itu menyebabkan ramai yang terpaksa bersesak-sesak di bawah jejantas. Ia boleh menyebabkan risiko kemalangan. Laluan bermotosikal juga tidak diselenggara dengan baik malah ada yang tidak dapat digunakan dan terbiar begitu sahaja.

Sudah menjadi lumrah, mutu turapan jalan di Malaysia sering mendapat kritikan. Bagi penunggang motosikal, sudah menjadi kebiasaan berasa senak perut apabila terlanggar lubang dan lopak.

Jarang pihak berkuasa tempatan bertindak proaktif me­nurap jalan yang rosak de­ngan segera melainkan setelah menjadi tular. Sehinggakan ada wakil rakyat terpaksa berdoa di tepi jalan berlubang meminta agar segera diturap baharu sebelum ditular dalam media sosial.

Malah, satu tabiat yang sukar diubah ialah hari ini turap jalan baharu, tidak lama kemudian korek semula. Yang untung hanya kontraktor. 

Selain itu, seringkali turapan baharu tidak sekata dengan aras penutup lubang kumbahan atau saliran perparitan. Akibatnya silap hari bulan, ada penunggang motosikal yang tersungkur. 

Sebenarnya bukan salah dasar kerajaan atau tiada peruntukan dana. Berjuta-juta ringgit peruntukan sekali pun tidak berguna jika di peringkat pelaksanaan tidak dipantau. Kita sudah pasti pegawai atasan mempunyai kelulusan tinggi dan kemahiran. 

Namun, adakah ijazah kejuruteraan atau perancangan bandar yang mereka miliki tidak mampu memastikan jalan diturap dengan baik?

Sudah tiba masanya penjawat tinggi awam tidak ha­nya selesa di bilik berhawa dingin, sebaliknya turun padang melihat ‘dunia’ sebenar dan jangan hanya tunggu laporan dihantar di atas meja.