Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Sham, 43, menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sewaktu sebuah treler yang membawa muatan besi konkrit bangunan berhenti di bahagian lorong kiri lebuh raya.

Jelasnya, selepas memberhentikan treler, pemandu yang berusia 27 tahun itu turun daripada treler untuk memeriksa brek kenderaan tersebut.

"Sewaktu melakukan pemeriksaan, dia tiba-tiba mendengar bunyi rempuhan pada bahagian belakang treler yang dipercayai dilanggar oleh penunggang motosikal itu.   

"Siasatan mendapati, mangsa berkonvoi bersama rakan-rakannya yang menunggang 10 buah motosikal lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Lenggong dekat sini," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. - K! ONLINE