Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, lelaki berusia 34 tahun tersebut dipercayai bertindak demikian kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa disebabkan mengubah suai motosikal tanpa kebenaran dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh. 

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia gagal melepasi lorong kereta di plaza tol berkenaan sebelum terbabas dan terjatuh di atas jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zamakhshari Hanipah berkata, lelaki itu dipercayai panik apabila melihat sekatan jalan raya dilakukan pihak berkuasa di lokasi tersebut.

"Dia tidak menggunakan laluan motosikal di bahagian belakang bangunan plaza tol di sini kerana melihat ada sekatan dan cuba melepasi lorong kereta," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi. 

Zamakhshari berkata, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan dan dikenakan tiga saman iaitu mengubah suai motosikal, cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh dan tidak memiliki lesen untuk menunggang motosikal.

Menurut beliau, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Kosmo! difahamkan, pemuda itu yang mendakwa dirinya seorang blogger dalam perjalanan dari Melaka ke Shah Alam, Selangor. - K! ONLINE