Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu dikenali sebagai Chen Meimei, 35, penumpang yang tersepit di tempat duduk belakang kereta jenis Chevrolet.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd. Sham Abdullah berkata, nahas tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Hino gagal memotong sebuah kereta Proton Saga di hadapannya sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

Katanya, ketika kejadian Proton Saga berkenaan berada di lorong tengah bersama tiga buah lagi kenderaan di hadapannya masing-masing Chevrolet, Honda CRZ dan Toyota Harrier.

"Akibat pelanggaran itu, Proton Saga tersebut terbabas ke kiri lebuh raya manakala lori tersebut terus melanggar Chevrolet yang dinaiki empat sekelurga dan dua buah kenderaan lain.

"Kemalangan tersebut turut menyebabkan kebakaran dipercayai berpunca dari kebocoran tangki minyak Chevrolet dan seorang penumpang wanita di dalamnya yang tersepit di tempat duduk belakang rentung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Sham berkata, pemandu Proton Saga yang juga seorang penuntut sebuah universiti awam berusia 35 tahun dilaporkan parah manakala penumpangnya, seorang pensyarah wanita cedera ringan.

Mangsa-mangsa lain dapat menyelamatkan diri namun cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

Jelasnya, pemandu Honda CRZ dan Toyota Harrier bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE