Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.36 pagi itu, mangsa, Liyana Azri Ibrahim berusia 31 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Difahamkan, kejadian terbabit turut mengakibatkan dua lagi rakannya iaitu pemandu, Jule Yana Angreny Ahmad, 31, dan penumpang hadapan, Nur Hidayati Amir, 32, cedera parah sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Keramat ke Rawang.

“Berdasarkan keterangan pemandu, kereta mangsa telah dilanggar pada bahagian belakang sebelah kiri oleh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki.

“Akibat pelanggaran tersebut, kereta mangsa telah hilang kawalan sebelum berpusing dan merempuh besi penghadang jalan di lorong susur keluar ke Tol Rawang Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, ketiga-tiga mangsa telah tersepit di dalam kenderaan terbabit sebelum dibawa keluar oleh sepasukan anggota bomba untuk dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

“Penumpang belakang, Liyana Azri Ibrahim disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu, patah bahu, tangan serta rusuk kiri selain retak pada belakang tengkuk manakala penumpang hadapan, patah tangan kanan dan rusuk kiri.

“Kesemua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di zon kuning di hospital tersebut dan polis juga sedang mengesan pemandu pacuan empat roda berkenaan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian. - K! ONLINE