Keputusan itu dibuat kerana mereka mendapati kos penjagaan anak yang perlu dibayar kepada pusat penjagaan pada setiap bulan adalah tidak sepadan dengan gaji ma­sing-masing.

Ada kenalan penulis terpaksa membayar hampir RM2,000 daripada purata gaji bulanan RM4,000 kepada pusat asuhan pada setiap bulan untuk menjaga dua anak disebabkan waktu kerjanya tamat selepas pukul 10 malam.

Yuran bulanan bagi bayi dan anaknya berumur dua tahun sudah mence­cah RM1,000. Dia juga perlu menanggung bayaran lebihan masa (OT) dikenakan iaitu RM8 hingga RM10 sejam setiap seorang anak selepas pukul 6 petang.

Itu cuma bayaran kepada pusat asuhan dan belum mengambil kira kos harian dan komitmen bulanan seperti sewa rumah, tanggungan keluarga dan ansuran bulanan kereta.

Jika idea untuk mewujudkan sebuah pusat ja­gaan atau taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja benar-benar menarik perhatian pihak majikan, ia pastinya suatu kelegaan kepada pekerja berstatus ibu bapa.

Kemudahan sebegini boleh membantu memberi ketenteraman kepada pekerja-pekerja ke­rana mereka berada dekat dengan anak, sekali gus memberi manfaat kepada majikan pada masa akan datang.

Dengan kewujudan pusat asuhan ini, pekerja akan melakukan kerja-kerja dengan lebih berkualiti dengan fikiran tenang dan sedar bahawa anak berada dalam keadaan selamat di­sebabkan kewujudan satu sistem pemantauan yang jauh lebih baik. Ini boleh membantu syarikat mengekalkan kumpulan pekerja yang dilihat sebagai aset daripada meninggalkan syarikat.

Ibu bapa juga tidak perlu terkejar-kejar untuk menghantar atau mengambil anak di pusat asuhan luar, jika ada kemudahan sebegini di tempat kerja, dan ini membolehkan mereka menguruskan masa de­ngan lebih baik di tempat kerja atau dengan anak-anak.

Kewujudan premis sebegini juga memberi kelegaan kepada pekerja wanita yang masih menyusu badan anak mereka, mengeratkan lagi hubungan ibu dan anak berbanding suapan botol susu.

Selain itu, pusat asuhan di tempat kerja juga boleh menyumbang kepada pengurangan kesesakan trafik lepas waktu kerja hingga membantu me­ngurangkan ancaman kejadian anak kecil dicabul, diliwat atau dirogol.

Majikan sebenarnya juga akan menerima manfaat ekonomi dengan menyediakan fasiliti sebegini. Sebahagian besar­nya adalah dalam bentuk pengecualian cukai.

Pengurusan syarikat boleh menetapkan pe­raturan-peraturan yang difikirkan sesuai jika berasa bimbang ada pekerja yang mengambil kesempatan dengan kemudahan itu.

Perlu diakui bahawa, sebilangan besar ibu bapa tiada pilihan dan terpaksa menghantar anak-anak kepada pengasuh tanpa latihan kelulusan atau taman asuhan ‘haram’.

Menurut rekod, sehingga Februari lalu, hanya ada 4,497 buah taska di seluruh negara yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jauh lebih rendah berbanding jumlah taska yang beroperasi ketika ini.

Pihak kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan tambahan pemberian insentif untuk mendorong lebih banyak firma swasta membuka pusat asuhan sendiri.