Cara kita menangani pasang surut itu menentukan corak perjalanan yang terpaksa kita lalui. Apabila bercakap tentang wang ringgit, adakalanya kita ada wang adakalanya poket kita ke­ring.

Memiliki wang boleh ditafsirkan bahawa gaji diperoleh tepat pada waktu­nya, ada orang membayar hutang lapuk kita, dapat bonus atau menerima saguhati daripada pihak ter­tentu.

Sementara, definisi poket kering pula duit gaji telah habis sebelum hujung bulan, tiada gaji langsung atau duit habis untuk tujuan kecemasan.

Bagaimanakah kita menangani masalah tiada wang berpanjangan atas sebab-sebab yang tidak boleh di­elakkan seperti sakit, tidak bekerja atau tiada gaji?

Seorang teman pernah memberi­tahu, dia mempunyai wang simpanan yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa­ pun termasuklah ahli keluarga­nya sendiri.

“Aku belajar daripada seorang saudara, jangan bagi tahu pasangan kita mengenai duit simpanan, jika kita bagi tahu percayalah duit itu akan habis sedikit demi sedikit,” kata teman itu.

Berpegang kepada nasihat itu dia yang mempunyai wang simpanan mungkin menggunakannya pada waktu kecemasan atau pendidikan anak-anak suatu hari nanti.

“Kita tidak tahu sama ada kita sakit atau sihat pada masa hadapan, kalau tiada duit simpanan satu sen dalam bank macam mana kalau ada kecemasan nanti,” jelasnya.

Seorang lagi teman pula pernah bercerita bahawa jika mendapat bonus atau ‘duit terpijak’ dia akan membeli barang kemas ke­rana baginya duit jika disimpan akan habis begitu sahaja.

“Kalau aku simpan duit aku akan habis begitu sahaja, kalau beli gelang, cincin atau rantai emas benda itu akan kekal dengan kita atau jika berlaku kecemasan bolehlah gadai untuk dapat duit tunai,” kata seorang teman.

Seorang lagi teman rapat lain pula cara dia menyimpan iaitu melalui unit amanah. Jika memperoleh bonus dia akan membeli unit-unit amanah supaya wangnya itu memperoleh keuntungan.

“Bukannya tiada wang simpanan langsung tetapi duit dalam bank kalau ada banyak nanti akan terguna membeli benda-benda yang tidak sepatutnya atau kita akan gunakan secara tidak berhemah, baik beli unit amanah lagi terjamin,” ujarnya.

Apa-apa pun cara kita menabung semua itu terpulang kepada hak individu, membelanja atau menyimpannya mesti­lah berhemah.

Jangan pula sampai tiada duit simpanan langsung walaupun telah lebih 10 tahun be­kerja, kerana kita tidak tahu cabaran masa depan.