Pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM, Dr. Mohd. Asha’ri Bain berkata, alat ciptaan beliau itu dikenali sebagai Elev8thor dan ia mudah serta ringkas untuk digunakan. 

Menurut beliau, Elev8thor diyakini dapat mempercepatkan kerja-kerja mencuci luka pesakit antara 15 hingga 20 minit, malah tidak memerlukan ramai petugas perubatan pada satu-satu masa. 

"Elev8thor dibuat menggunakan busa keras dan lembut serta dibalut dengan kain kulit. Ia dibina berasaskan sistem blok modular supaya boleh bergerak dan dialih untuk mengurangkan tekanan di kawasan luka dan mengelak ulser. Ia juga ringan dan kompak serta boleh dilipat. 

"Ciri-ciri ini dapat mengurangkan komplikasi pada kecederaan di bahagian kaki, memudahkan pegawai perubatan dalam aspek pengurusan luka serta memberi keselesaan kepada pesakit," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Mohd. Asha’ri berkata, Elev8thor tidak terhad untuk rawatan luka sahaja kerana ia boleh juga digunakan dalam beberapa prosedur rawatan ortopedik seperti balance traction untuk rawatan tulang retak di bahagian kaki dan x-ray.

Beliau yang juga pakar bedah ortopedik berkata, alat itu boleh juga digunakan sebagai alat bantu dalam proses pembalutan simen, prosedur ‘interlocking tibia’ untuk kecederaan di bahagian tulang tibia serta rawatan yang menggunakan split skin graph.

"Produk inovasi ini kini dalam proses dipatenkan dan pihak industri yang berpotensi akan dikenal pasti untuk dilantik sebagai pengeluar supaya produk ini dapat dikomersialkan di pasaran," katanya. - K! ONLINE