Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam itu, Che Ku Mohd. Rafi Che Ku Li, 47, menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Che Ku Mohd. Rafi yang mengajar di Institut Perguruan Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Nerus dikatakan dalam perjalanan untuk menemui rakannya di bandar Dungun di sini dari rumahnya di Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Sejurus membayar tol di Plaza Tol Bukit Besi dekat sini, mangsa telah memberhentikan kereta yang dipandunya sendirian secara mengejut setelah dipercayai tiba-tiba mengalami sesak nafas.

"Petugas peronda LPT2 yang menyedari kejadian itu telah menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini untuk mendapatkan rawatan,
katanya kepada Kosmo! hari ini.

Baharudin berkata, Che Ku Mohd. Rafi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik kesihatan itu sewaktu sedang mendapatkan rawatan pada pukul 10.50 malam. - K! ONLINE