Mereka terpaksa berehat daripada melakukan kerja menoreh kerana pokok getah mengalami proses daun luruh sehingga menjejaskan pengeluaran susu getah.

Seorang penduduk Kampung Sentok, Pos Hendrop, Amir Pandak, 38, berkata, penghasilan susu getah menurun lebih 50 peratus dan pendapatan mereka dijangka terjejas teruk dalam tempoh lima bulan ini.

Katanya, ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering apabila getah ditoreh berhenti mengeluarkan susu dalam tempoh 30 minit berbanding dua atau tiga jam sebelum ini.

"Situasi itu membimbangkan dan memberi tekanan kepada penduduk kampung yang bergantung kepada sumber pendapatan hasil getah.

"Jika hari biasa saya dapat menjana pendapatan antara RM700 sehingga RM1,000 sebulan, tetapi sekarang nak dapat RM500 pun susah. Namun kami bersyukur kerana dapat mengumpul getah beku untuk menyara kehidupan keluarga," katanya.

Jemau Alang, 55, pula berkata, cuaca panas membahang ketika ini sememangnya amat dirasakan oleh pekebun dan penoreh getah masyarakat Orang Asli.

Katanya, mereka terpaksa berehat daripada menoreh dan membuat pekerjaan lain seperti masuk ke hutan untuk mencari sumber rezeki.

"Kami berharap pihak kerajaan dapat memberi bantuan kepada penduduk Orang Asli yang bergantung dengan hasil getah, walaupun kerajaan memberikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

"Harga getah ketika ini masih rendah apabila tidak mencapai RM3 sekilogram menyebabkan kami hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 hingga RM700 sebulan," katanya. - K! ONLINE