Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Ammin Md. Jalil, 23, yang merupakan penolong pengurus disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semasa kejadian mangsa memandu kereta jenis Proton Satria.

"Siasatan awal mendapati pemandu Proton Satria yang datang dari arah Sirusa menghala Sua Betong telah masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta jenis Honda Civic yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, pada pukul 7.30 pagi polis dimaklumkan oleh pihak hospital mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Port Dickson.

Menurut beliau, pemandu kereta jenis Honda Civic iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE