Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi membenarkan Penolong Jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Tengah berusia 58 tahun dan kontraktor berumur 57 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki yang dibawa menaiki kenderaan berasingan itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ipoh pada pukul 11.30 pagi.

Mereka berdua ditahan antara pukul 7.20 petang hingga 8.20 malam di pejabat SPRM Perak semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, kedua-dua mereka terlibat dengan tuntutan yang mengandungi butiran kandungan palsu bagi kerja-kerja baik pulih sungai oleh JPS Daerah Perak Tengah membabitkan empat sebut harga berjumlah hampir RM720,000 tahun lalu.

Menurut sumber, tiada sebarang kerja-kerja fizikal bagi baik pulih tebing sungai dijalankan sehingga ke hari ini walaupun bayaran penuh kerja telah dibuat dan diterima pihak kontraktor yang dikatakan kroni kepada pegawai dan kakitangan JPS Perak Tengah.

“Kedua-dua lelaki itu bersama dua lelaki lain yang turut ditahan, disyaki telah berpakat dengan kontraktor untuk membuat tuntutan palsu.

“Bagaimanapun, dua lelaki yang merupakan pegawai kanan JPS berusia 47 tahun dan seorang penolong jurutera berumur 49 tahun telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan dua lelaki itu. - K! ONLINE