"Sudah tentu rakyat menanti penjelasan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang keputusan pentadbiran terdahulu menjual tanah dan bangunan Malaysia itu secara rundingan terus dan bukan tender terbuka," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu, Guan Eng berkata, Najib masih menegakkan benang basah dengan mempersalah kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang menjual aset bangunan Malaysia di Hong Kong, sungguhpun pentadbiran beliau telah memutuskan untuk menjual aset tersebut secara rundingan terus.

Guan Eng menjelaskan bahawa tindakan yang dibuat kerajaan BN itu merugikan negara apabila harga rundingan terus yang ditawarkan sebelum 9 Mei 2018 adalah sebanyak RM1.1 bilion dan apabila kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan melaksanakan tender terbuka, tawaran pembelian setinggi RM1.6 bilion diterima.

"Rakyat Malaysia hilang sekurang-kurangnya RM500 juta jika dilakukan secara rundingan terus ala BN, sekiranya kerajaan BN tidak digantikan oleh Pakatan Harapan yang melakukannya secara tender terbuka.

"Beliau (Najib) enggan menjawab soalan saya sebaliknya menuntut saya menjawap tuduhan tidak berasas berkaitan isu-isu lain terdahulu," katanya.

Guan Eng juga mendakwa projek terowong dasar laut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bermasalah kerana ia dibuat secara tender terbuka.

Menurutnya, pertikaian yang dibuat Ketua Penerangan Pas, Nasaruddin Hassan Tantawi mengenai projek tersebut telah pun ditarik balik pada 2016.

"Beliau telah pun menyuarakan perasaan perasaan kesal, dan diperintah oleh mahkamah untuk membayar saya RM10,000 sebagai penyelesaian saman fitnah saya terhadap beliau", kata Guan Eng. - Bernama