Mangsa, Foon Choon Fai, 23, berkata, dia bekerja di sebuah kedai di Malim Nawar dekat sini, menerima tempahan menerusi aplikasi sosial WeChat daripada seorang lelaki yang berminat untuk membeli telefon berkenaan. 

“Lelaki tersebut berminat untuk membeli telefon bimbit berdasarkan gambar yang saya tunjukkan kepadanya dan dia bersetuju untuk membeli dengan harga yang telah ditetapkan. 

“Kami berjumpa di Taman Song Choon untuk urusan jual beli dan penyerahan telefon tersebut pada pukul 9 malam hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini hari ini. 

Tambahnya, urusan tersebut dilakukan oleh seorang wanita dipercayai teman wanita pelanggan tersebut dalam keadaan tergesa-gesa dan pada awalnya dia tidak mengesyaki penipuan lelaki tersebut. 

“Saya menyedari dia menggunakan wang palsu apabila mesin deposit wang tidak menerima wang terbabit. 

“Saya ada menghubungi pelanggan itu namun dia menafikannya dan tidak kisah sekiranya laporan polis terhadapnya dibuat,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, peniaga kecil sering menjadi mangsa penggunaan wang palsu itu.

“Peniaga diminta berhati-hati dengan taktik licik penjenayah yang mengambil kesempatan terhadap peniaga kecil dan berharap mereka dapat mengenalpasti antara duit palsu ketika urusniaga dijalankan. 

“Modus operandi mereka dengan menunjukkan slip bank kononnya duit itu dari bank ketika berurusan dalam usaha memperolehi kepercayaan mangsa," katanya. - K! ONLINE