Tertuduh, Lee Tak Foo, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah kepada Chia Yoke Peng, 53, sebanyak dua kali dengan nilai masing-masing sebanyak RM3,000 di No. 35, Pekeling Rokam, Pekan Razaki di sini pada 15 dan 27 Januari lalu.

Tak Foo didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakal tertuduh diwakili peguam bela, K. Nanthan. 

Fadhli mencadangkan wang jaminan RM15,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan. 

Terdahulu, Nanthan dalam rayuan kepada anak guamnya memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan anak tertuduh masih belajar di sebuah universiti dan dia pula hanya bekerja sebagai penjual kereta tempatan dengan pendapatan RM2,500 sebulan. 

Mutazadi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - K! ONLINE