R. Rengaiya, 43, berkata, dia pernah ke Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2013 untuk mendapatkan rawatan namun terpaksa membatalkan hasrat untuk melakukan pembedahan akibat kos yang tinggi sehingga RM60,000 diperlukan. 

“Saya kemudian mendapatkan rawatan jantung di Hospital Serdang dan kini pihak hospital meminta saya membayar RM5,000 untuk membeli beberapa peralatan bagi melakukan pembedahan. 

“Tarikh pembedahan telah ditetapkan pada 6 September ini namun saya masih tidak mampu untuk membayarnya. Sekiranya saya tidak membayar wang itu, pembedahan tersebut tidak dapat dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Tambah Rengaiya, dia yang merupakan OKU sakit tulang belakang sejak tiga tahun lalu itu mempunyai halangan untuk bekerja berat akibat sakit yang dihadapi. 

“Saya dan isteri, N. Karnagi, 47, yang merupakan OKU lumpuh separuh badan hanya sekadar menjual bunga kecil-kecilan di tepi jalan bagi menampung keperluan hidup seharian. 

“Harapan saya agar orang ramai bermurah hati memberikan derma kepada saya bagi membeli peralatan untuk pembedahan jantung saya,” katanya dalam nada sedih.

Menurut Rengaiya yang tinggal di Taman Kledang, Ipoh, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan selain pendapatannya menjual bunga RM300 sebulan tidak mampu untuk membayar wang membeli peralatan pembedahan jantungnya itu. 

Orang ramai yang mahu menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Rengaiya di talian 011-3411 5712 atau melalui nombor akaun Maybanknya 1611 7211 8970. - K! ONLINE