Mangsa, Jaafar Ismail, 52, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semalam apabila didatangi seorang remaja menaiki motosikal jenis Honda EX5 untuk membeli dua gelas air kelapa berharga RM4.

"Selepas saya membungkus air kelapa, remaja itu terus membayar dengan menghulurkan wang  bernilai RM100 dalam keadaan bergulung.

"Pak cik tidak perasan wang itu palsu serta terus memberi baki sebanyak RM96 lagi kepadanya. Remaja berkenaan terus ke motosikalnya dan memecut laju," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia berkata, walaupun jumlah wang RM100 itu mungkin nilainya kecil bagi orang lain namun dia kehilangan modal berniaga yang amat tinggi kerana hanya berniaga kecil-kecilan sahaja.

"Sebelum ini, pada bulan November lalu saya juga pernah ditipu dengan wang palsu bernilai RM50 oleh seorang warga emas dengan membeli satu bungkus air kelapa. Sejak itu, saya agak berhati-hati namun tetap terkena juga semalam.

"Nak buat macam mana bukan rezeki saya dan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang telah perdayakan saya. Saya tidak membuat laporan polis tetapi jika pesalah mengetahui kejadian dan ingin memohon maaf serta memulangkan wang tersebut saya akan maafkan," ujarnya.

Jaafar memberitahu, dia sudah dua tahun berniaga di Wakaf Bharu dan banyak ditimpa musibah termasuk kecurian buah kelapa sebanyak 130 biji bernilai RM200 pada bulan Disember lalu. K! ONLINE