Dalam kejadian pukul 5 petang itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 27 hingga 40 tahun. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejayaan tersebut hadir apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengekori dua buah treler sehingga ke Bahau, Negeri Sembilan dari Klang.

Katanya, ini susulan laporan kes curi yang berlaku pada Jumaat lalu di Pandamaran. 

"Menerusi bantuan daripada polis IPD Jempol, kita berjaya menahan treler itu bersama enam orang suspek.

"Turut dirampas adalah 24 buah kotak bersaiz besar berisi bahan plastik kitar semula bernilai kira-kira RM50,000," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu baharu sahaja terlibat dalam kegiatan tersebut berikutan semakan mendapati tiada rekod membabitkan kumpulan tersebut.

Jelasnya, polis juga menolak sebarang penglibatan pihak sindiket dengan kesemua suspek tersebut.

"Usaha memburu seorang lagi individu bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE