Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad berkata, peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) sememangnya satu situasi baharu yang mungkin menyukarkan penjawat awam dalam melaksanakan tugas, namun perkara tersebut perlu ditangani.

"Pegawai kerajaan, kalian perlu berkhidmat untuk kerajaan pada hari ini. Tidak boleh belot, tak boleh itu ini kena buat kerja kerana yang akan menerima akibatnya (jika tidak bekerja) adalah rakyat. Saya tahu untuk berhadapan dengan kerajaan baharu bagi pegawai kerajaan bukan mudah. 

"Begitu juga dengan menteri baharu kerajaan PH untuk berhadapan dengan pegawai kerajaan bukan mudah tetapi perlu ada sikap saling mempercayai," katanya ketika berucap menyokong usul menjunjung  kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada perasmian persidangan Parlimen 17 Julai lalu di Dewan Negara di sini. 

Usul berkenaan dibawa oleh Senator Mohd. Nor Monutty.

Khairudin berkata, kerajaan juga perlu yakin akan keupayaan pegawai kerajaan dengan menimbang cadangan yang diberikan mereka dalam melaksanakan perkara yang memberi kebaikan kepada rakyat. - Bernama